Tag Archives: UMNO

Ku Li: Tidak Adil Najib Diminta ‘Menjauhkan Diri’

(Berita Harian) – KUALA LUMPUR: Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, berpandangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak perlu ‘menjauhkan diri’ semata-mata untuk menjaga imej parti.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, Najib masih ahli UMNO dan berstatus Ahli Parlimen dipilih rakyat.

Tengku Razaleigh berkata, adalah tidak adil jika Najib diminta ‘menjauhkan diri’ hanya disebabkan beberapa kes mahkamah dihadapinya kerana mungkin ada pemimpin lain dalam UMNO pernah didakwa tetapi masih bertugas.

“Apa yang berlaku (tuduhan dihadapi Najib) jelas memberi kesan kepada parti tetapi semuanya bergantung kepada persepsi dan pandangan orang ramai.

“Soal baik buruk imej parti bukan hanya bergantung kepada seorang pemimpin sahaja, boleh jadi kelakuan semua (pemimpin).

“Pandangan saya, selagi seseorang individu tidak dibuktikan bersalah di mahkamah, maka dia masih tidak bersalah dan Najib tidak perlu menjauhkan diri daripada parti,” katanya ketika ditemui media di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan beberapa pemimpin UMNO supaya parti itu menjauhkan diri daripada bekas pemimpinnya yang kini berdepan kes mahkamah.

Antara yang mengeluarkan kenyataan itu ialah Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang meminta Najib tidak mencampuri urusan parti seperti dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Tengku Razaleigh berkata situasi Najib ketika ini berbeza daripada Dr Mahathir dan Abdullah kerana bekas Presiden UMNO itu masih Ahli Parlimen yang sah.

“Kita tiada hak untuk menghalang beliau (Najib) bersuara kerana soal dakwaan itu, orang lain (pemimpin UMNO) pun ada yang pernah didakwa tetapi masih memegang jawatan.

“Kalau mahu mengambil kira imej tidak baik, semua (pemimpin) yang pernah didakwa, dituduh juga membawa kesan yang tidak baik (kepada UMNO), bagaimana semua itu nak dijadikan ukuran?

“Justeru, soal mahu aktif atau tidak semuanya terpulang kepada individu itu sendiri kerana setahu saya, parti tidak mempunyai peraturan (menghalang) kecuali yang pegang jawatan (dalam parti) akan diminta berundur,” katanya.

Gambar Sekitar Majlis Tahlil A. Karim Omar

Alhamdulillah, dengan rahmat Allah S.W.T., majlis tahlil ayahanda kesayangan kami, Allahyarham Tuan Haji A. Karim bin Omar telahpun berjalan dengan lancar selama 3 malam berturut-turut.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menjayakan majlis tahlil ini.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T., Amin.

Al-Fatihah.

Video: 6 Sebab Ku Li Paling Layak Menjadi Presiden UMNO

  1. KU LI PALING BERPENGALAMAN
    Ku Li paling faham sikap dan pemikiran Tun Mahathir. Ini amat penting dalam pencaturan politik UMNO.
    Beliau paling berpengalaman dalam mentadbir negara ketika krisis, berbanding calon-calon lain.
  2. KU LI SETIA DENGAN DASAR PERJUANGAN UMNO
    Jika jawatan Presiden jatuh ke tangan orang lain, belum tentu asas perjuangan UMNO akan terus dimartabatkan, kerana ada calon Presiden mahu mengubah prinsip asas UMNO.
  3. KU LI TAK SETUJU BUKA KEAHLIAN KEPADA BUKAN MELAYU
    Menghayati asas perjuangan parti, Ku Li faham bahawa UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu.
    Ku li tidak mahu membuka keahlian UMNO kepada kaum-kaum lain.
  4. KU LI TERBUKTI SEORANG PEMIMPIN YANG HEBAT
    Digelar “Bapa Pembangunan Ekonomi Malaysia”, Ku Li adalah mantan Menteri Kewangan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang handal pada era Tun.
    Beliau juga MP Gua Musang (dahulunya Ulu Kelantan) sejak 44 tahun dahulu.
  5. SUMBANGAN KU LI KEPADA PEMBANGUNAN NEGARA
    Digelar “Putera Minyak Negara”;
    Pengasas, Pengerusi dan Ketua Eksekutif pertama PETRONAS;
    Pengerusi pertama Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS);
    Mantan presiden Malaysian Chamber of Commerce and Industry;
    Mantan Presiden ASEAN Chamber of Commerce and Industry;
    Mengetuai delegasi perdagangan pertama Malaysia ke China pada tahun 1971;
  6. KU LI DIHORMATI DI PENTAS ANTARABANGSA
    Pengerusi Asian Development Bank, 1976;
    Pengerusi International Bank for Reconstruction and Development (World Bank), 1977;
    Pengerusi Islamic Development Bank (Arab Saudi), 1978;

Sokonglah TENGKU RAZALEIGH HAMZAH demi masa depan UMNO yang cemerlang!

Tahniah Datuk Asyraf Wajdi, Ketua Pemuda UMNO!

Tahniah diucapkan kepada Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki atas kemenangan beliau di dalam Pemilihan UMNO 2018 sebagai Ketua Pemuda UMNO 2018-2021!

Syed Saddiq Menyindir Tun M?

Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpendapat, untuk UMNO berjaya, parti itu mesti dipimpin oleh orang muda dan bukannya orang tua.

Menurut akhbar New Straits Times di dalam laporannya yang bertajuk “KJ should go straight for Umno president’s post, says Syed Saddiq”:

The 25-year-old leader further said that if Khairy refused to break Umno’s old structure, the party and its young members would go nowhere. – NST

When asked for his thoughts on the possibility of Umno veteran Tengku Razaleigh Ibrahim running as president, Saddiq disagreed with that proposal.
“It is very interesting but Tengku Razaleigh as Umno president would not be able to capture the youth’s imagination like KJ or other young leaders. – NST

Syed Saddiq mahu Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin (KJ) supaya bertanding jawatan Presiden UMNO dan seterusnya dipilih menjadi Presiden UMNO.

Saya merasakan nama Tengku Razaleigh Ibrahim di dalam laporan tersebut adalah merujuk kepada Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, yang merupakan salah seorang daripada calon Presiden UMNO di dalam pemilihan parti kali ini.

Soalan saya kepada Syed Saddiq:

  1. Berapakah umur calon Perdana Menteri PH yang mendapat sokongan dan undi besar daripada orang muda pada PRU14?
  2. Apakah Syed Saddiq menafikan sanjungan dan sokongan orang muda terhadap Perdana Menteri sekarang?
  3. Apakah Tun Dr. Mahathir lebih muda daripada Tengku Razaleigh Hamzah?
  4. ” … Tengku Razaleigh as Umno president would not be able to capture the youth’s imagination like KJ or other young leaders”, adakah ini satu sindiran kepada Tun M?

Saya tertanya-tanya, tidakkah Syed Saddiq sedar berapakah umur pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH), teristimewanya Pengerusi PH sebelum menegur parti orang lain?

Dan apakah Syed Saddiq sudah lupa bahawa Tun Dr. Mahathir adalah jauh lebih tua berbanding Tengku Razaleigh Hamzah?

Hakikatnya, Perdana Menteri yang juga merupakan pengerusi PH sudahpun berumur 93 tahun, dan bakal Perdana Menteri PH pula berumur kini 70 tahun.

Maka, apabila bakal Perdana Menteri ke-8 menaiki takhta dua tahun lagi, beliau akan berumur 72 tahun, itu pun jika Tun Dr. Mahathir sudah bersedia untuk memberi laluan kepadanya pada ketika itu.

Selepas Anwar Ibrahim, mungkin isterinya yang kini merupakan Timbalan Perdana Menteri pula yang akan menjadi calon Perdana Menteri, dan pada ketika itu, kemungkinan Wan Azizah sudah berumur dalam lingkungan 75 tahun.

Selepas Wan Azizah, mungkin Tan Sri Muhyiddin juga mahu menjadi calon Perdana Menteri pada usia lebih daripada 80 tahun.

Selepas Muhyiddin mungkin Mat Sabu juga mahu menjadi calon Perdana Menteri, juga pada umur lebih daripada 80 tahun.

Dan begitulah seterusnya, dan apabila sampai giliran pemimpin yang kini masih muda seperti Syed Saddiq untuk menjadi Pengerusi PH, maka mereka juga telahpun menjadi tua kerana terlalu ramai pemimpin-pemimpin yang tua dalam PH sedang beratur mahu menjadi Pengerusi PH.

Itu yang membuat saya terfikir, adakah Syed Saddiq sudah merasa resah menunggu gilirannya untuk menjadi Pengerusi PH dan cuba menyindir pemimpin tertinggi PH bahawa pada hari ini parti politik mesti dipimpin oleh orang muda?

Ataupun adakah Syed Saddiq sedang mengalami masalah ‘delusional disorder’ sehingga gagal melihat bahawa dalam PRU14, pengundi muda Malaysia mengundi supaya negara ini bukan sahaja dipimpin oleh pemimpin yang sudah tua, tetapi juga mempunyai Council of Eminent Persons yang anggotanya juga sudah tua?

Oleh itu, adakah dengan menegur Tengku Razaleigh, Syed Saddiq sebenarnya sedang menegur Tun M yang 12 tahun lebih tua daripada Tengku Razaleigh?

  1. Mengapakah Tun M Pilih KJ?
  2. KJ Gagal Jiwai Asas Perjuangan UMNO?
  3. Khairy, A Trojan Horse?

KJ Gagal Jiwai Asas Perjuangan UMNO?

Ada yang berkempen mahukan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ) dipilih sebagai Presiden parti di dalam pemilihan UMNO nanti.

Mereka merasakan untuk memenangi hati pengundi, maka Presiden UMNO mestilah orang muda dan mengamalkan dasar populism tanpa mengira akibatnya kepada agama, bangsa dan tanah air.

Menariknya, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir baru-baru ini juga menggesa KJ untuk bertanding jawatan Presiden UMNO.

Sebabnya, kenalah tanya Tun sendiri!

Walaupun saya hanya seorang pemerhati dan bukannya ahli UMNO, saya tahu dasar perjuangan UMNO adalah demi agama, bangsa dan tanah air seperti yang tertulis di dalam perlembagaan parti dan juga dalam seni kata lagu UMNO.

Maka Presiden UMNO mestilah mempunyai jati diri Melayu, berjiwa Melayu dan sayangkan agama Islam dan tanah air serta faham sejarah Tanah Melayu.

Saya terkilan apabila KJ mencadangkan keahlian UMNO dibuka kepada semua kaum dan disambut baik oleh mereka yang berpendirian sama seperti beliau.

Adakah KJ merasakan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air sudah tidak boleh diterima lagi atau ‘outdated’, atau KJ yang ‘out of touch’ dengan hati orang Melayu yang setia mengundi UMNO?

Juga, kenapa KJ tidak menyuarakan perkara ini semasa beliau masih menjadi Menteri Belia dan Sukan?

Dulu yang dihasratkan oleh KJ hanyalah politik baru, contohnya KJ memilih Regina Lee sebagai SUA, orang luar yang bukan penyokong parti dan tiada jiwa perjuangan parti.

Apakah itu satu tindakan yang bijak?

Pada tahun 2014, saya telah menulis sebuah artikel bertanya bagaimana KJ sanggup melancarkan buku yang ditulis oleh seorang aktivis COMANGO dan setiausaha agung Proham di dalam sebuah gereja?

Sedangkan COMANGO lantang menentang Islam dan kedudukan istimewa orang Melayu yang diperjuangkan oleh parti KJ iaitu UMNO. (Sila baca di sini)

Lebih teruk lagi, majlis itu berlangsung di dalam Gereja DUMC yang pernah menghentam UMNO iaitu parti KJ sendiri kerana kes serbuan JAIS pada 4 Ramadhan 2011 di mana JAIS bertindak selepas mendapat aduan tentang majlis yang meragukan.

Tindakan KJ itu telah menyebabkan rakyat yang mahu mempertahankan dasar kerajaan Islam di Malaysia marah terhadap UMNO; padahal merekalah di antara orang yang mengundi UMNO.

Bagi saya, KJ telah menikam UMNO kerana sebagai menteri UMNO, tindakan KJ dianggap sebagai polisi UMNO.

Jelas KJ tidak mampu mengangkat agenda Islam dan Melayu yang merupakan asas perjuangan parti UMNO!

Kegagalan KJ dan Ketua Puteri UMNO untuk meraih undi orang muda adalah di antara faktor besar yang menyebabkan kekalahan Barisan Nasional pada PRU14.

Sepatutnya, beliau seperti Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Shahrizat haruslah bertanggungjawab dan bukannya mencari kesalahan orang lain khasnya menyalahkan Dato’ Seri Najib yang telah menyokongnya selama ini.

Tindakan Dato’ Seri Najib meletak jawatan setelah kekalahan BN, dan keputusan Tan Sri Shahrizat untuk tidak bertanding pada pemilihan UMNO kali ini adalah satu tindakan pemimpin yang matang dan bertanggungjawab.

Manakala KJ sebagai Ketua Pemuda yang gagal membawa undi orang muda kepada UMNO dan antara penyebab kepada kekalahan BN, bukan sahaja mahu bertanding jawatan yang lebih tinggi, malah sibuk menyalahkan orang lain.

Contohnya, di bawah tajuk, “KJ mengaku 1MDB punca UMNO tumbang” Astro Awani melaporkan:

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui parti keramat Melayu itu tumbang kerana kegagalan menteri terdahulu menegur Presidennya yang juga bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tentang skandal 1MDB – Astro Awani.

KJ sebagai Ketua Pemuda sepatutnya mempertahankan UMNO dan Presiden UMNO dari hari pertama UMNO dan Datuk Seri Najib diserang tetapi KJ gagal sehingga orang ramai percaya kepada persepsi lawan; dan sekarang KJ sendiri mempertikaikan dan menuduh orang yang menyokongnya selama ini, laksana menggigit tangan yang menyuapkan nasi.

Inikah sikap calon Presiden UMNO atau Ketua Pembangkang?

Buat pertama kali saya bersetuju dengan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, bahawa KJ mesti tinggalkan UMNO, dan bentuklah sebuah parti baru yang berbilang kaum.

DAP dan PAS tidak pernah mengubah dasar perjuangan parti mereka biarpun mereka berkali-kali kalah di dalam pilihan raya.

Semoga UMNO kekal dengan dasar perjuangan parti dan dipimpin oleh pemimpin yang faham dan menjiwai dasar perjuangan UMNO.

Mengapa perlu saya merangkak ke Dr Mahathir, kata Ku Li

[FMT}- KUALA LUMPUR: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan “merangkak” ke Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya dia pemangku presiden Umno.

“Untuk apa? Mengapa saya perlu merangkak kepadanya? Dia dari parti lain. Dia sudah meninggalkan parti kita yang dia tubuhkan dengan Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang media di kediamannya hari ini.

Tengku Razaleigh ditanya adakah beliau akan berjumpa Dr Mahathir sekiranya dia pemangku presiden Umno.

Soalan itu merujuk pertemuan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dr Mahathir minggu lepas.

Razaleigh tidak mahu mengulas pertemuan itu.

“Orang tanya saya mengapa Zahid pergi jumpa Dr Mahathir dan minta nasihat daripada dia macam mana nak uruskan Umno. Itu dia punya hak, saya tak mahu komen,” katanya.

Ditanya adakah dia berdendam dengan Dr Mahathir, Tengku Razaleigh menjawab: “Tidak ada. Saya tak bergaduh dengannya.”

Beliau menambah Dr Mahathir kawan lamanya dan “dia seorang yang istimewa”.

Dr M bukan lagi diktator?

Tengku Razaleigh tidak percaya Dr Mahathir sudah berubah seperti yang diperkatakan peminat dan bekas pengkritik.

Beliau berkata Dr Mahathir masih orang yang sama.

“Beliau masih sama cuma pakai baju lain…baju lama dah buruk. Macam itulah orangnya 23 tahun lalu, dia seperti itu 22 tahun lalu, dan saya rasa dia masih begitu pada hari ini,” katanya.

Dr Mahathir pernah menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003.

Tengku Razaleigh meminta media perhatikan PPBM yang baru ditubuhkan Dr Mahathir sebagai contoh.

“Anda nampak barisan kepimpinan parti yang baru ditubuhkan itu tetapi mengetuai kerajaan di Kedah, Perak, Johor dan di tempat lain, dan anda nampak bilangan jawatan Kabinet yang dipegang mereka,” katanya.

(PPBM hanya memenangi 13 daripada 116 kerusi Pakatan Harapan tetapi memegang 3 jawatan Kabinet setakat ini dan juga perdana menteri.)

Ditanya sama ada orang ramai akan akhirnya sedar Dr Mahathir belum berubah: “Saya tidak tahu. Terserah kepada orang ramai, bukan saya yang patut cakap.”

Tengku Razaleigh, 83, merupakan Ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat, mewakili Gua Musang sejak 1986.

Bekas menteri kewangan ini pernah berkhidmat dalam Kabinet pertama Dr Mahathir.

Dr Mahathir, 93, kembali berkuasa bulan lepas sebagai ketua Pakatan Harapan selepas meninggalkan Umno pada 2016 dan menubuhkan parti baru, PPBM.

DAP Ibarat Parti Putar Belit

KETUA Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa (tengah) bersama Naib Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan (kiri) dan Bekas Aktivis DAP, Mohamed Razali Abdul Rahman hadir pada program Anda Tanya, Kita Jawab: Diskusi UMNO-Online bertajuk Membongkar Wajah Sebenar DAP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini. – Foto Saddam Yusoff

[Berita Harian}- KUALA LUMPUR: DAP ibarat parti putar belit dan sering meletakkan kesalahan pada orang lain kerana tidak mahu bertanggungjawab terhadap kesilapan yang mereka lakukan.

Naib Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan, berkata banjir yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini menjadi contoh terbaik bagaimana kerajaan DAP cuba mengalihkan isu sehingga mengelirukan rakyat negeri berkenaan.

“Saya lihat DAP kuat kerana banyak perkara dan isu yang dibangkitkan, mereka berani putar belit sehingga banyak masyarakat, terutama kaun Cina tidak mengetahui isu itu adalah benar atau tidak.

“Seperti di Pulau Pinang, apa yang dilaksanakan oleh DAP dan kerja itu salah, mereka letak kesalahan pada orang lain, mereka tidak mahu mengambil tanggungjawab terhadap apa yang mereka lakukan.

“Sebagai contoh, tanah runtuh, banjir teruk dan bukit-bukit digondolkan sehingga ada yang mengatakan DAP ini adalah ‘Developer Action Party’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Anda Tanya, Kita Jawab: Diskusi UMNO-Online bertajuk Membongkar Wajah Sebenar DAP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Bicara santai selama sejam, disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan YouTube itu turut menampilkan bekas aktivis DAP, Mohamed Razali Abdul Rahman dan dikelolakan oleh Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu, bekas aktivis DAP, Mohamed Razali Abdul Rahman, berkata tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempolitikkan isu bantuan banjir amat tidak wajar.

“Saya masih ingat Guan Eng menangis merayu meminta bantuan daripada kerajaan Pusat mengenai banjir yang berlaku namun apa yang berlaku selepas itu, beliau hentam balik kerajaan kononnya bantuan tidak sampai.

“Guan Eng juga amat biadap kerana sebelum ini dalam satu ucapannya, beliau pernah mengatakan Pulau Pinang bebas mengadakan pesta arak kerana negeri itu bukan Taliban. Dua minggu selepas itu, berlaku tanah runtuh dan banjir besar,” katanya.