Henti Nyala Api Perkauman, Permusuhan Antara Agama – Sultan Nazrin

Gambar ihsan Utusan Online

UTUSAN ONLINE – IPOH 1 Sept. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan semua pihak agar menghentikan segala perbuatan menyalakan api perkauman dan meniupkan bara permusuhan antara agama di negara ini.

Baginda menegaskan, provokasi keterlaluan yang dilihat dan ditafsirkan secara negatif menurut dimensi kaum dan agama adalah ibarat bom jangka yang menanti masa untuk meletup.

Sehubungan itu baginda bertitah, suhu panas tersebut wajib diturunkan kerana keadaan itu amat tidak sihat malah meletakkan negara dalam zon bahaya yang mencemaskan.

“Pelbagai provokasi secara keterlaluan dilapor dilakukan antaranya meletak patung dan melemparkan daging khinzir di dalam masjid, meletak kepala lembu di kuil Hindu, menyebarkan pelbagai bahan diayah, fitnah dan penghinaan melalui media sosial termasuk terhadap agama Islam dan Rasulullah SAW.

“Sebahagian besar daripada perbuatan-perbuatan tersebut dilapor dilakukan kerana upahan.

“Bara perkauman semakin disemarakkan dan api permusuhan antara agama semakin dinyalakan. Setiap ungkapan dan perbuatan sedemikian merupakan pemasangan satu bom jangka yang menanti masa untuk meletup,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri tahun 1441H/2019M yang diadakan di Hotel Casuarina@Meru di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim.- UTUSAN ONLINE

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.