Antara ‘Delusional Disorder’ Dan Muslihat DAP

“Ada ubi ada batas, Jelas sangat pro UMNO & Pas”, itulah komen Hannah Yeoh, Speaker DUN Selangor di laman Facebooknya apabila Dr. Kamarul Zaman mengakhiri tulisan dengan menggunakan peribahasa tersebut.

Dr. Kamarul diserang hebat oleh pakatan DAP dan dihina dengan tuduhan beliau “terkucil” bila berdepan  Tun Dr. Mahathir ketika Wacana Sinar, “Is Tun M Too Old To Be PM?”.

Komen Hannah Yeoh itu amat pelik dan tidak kena pada tempatnya; dan hanyalah ibarat tin kosong.

Nak menyerang dan menghentam Dr. Kamarul pun biarlah secara bijak dan logik; janganlah sampai menyerang di luar konteks sehingga tidak masuk akal; melainkan kepada mereka yang lemah dalam menguasai Bahasa Melayu.

Kerana dari segi bahasa, apakah hubungan maksud peribahasa di atas dengan  “Jelas sangat pro UMNO & Pas”?

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, peribahasa ada ubi ada batas, ada masa boleh balas itu bermaksud perbuatan jahat itu sewaktu-waktu akan mendapat balasan juga; dan itulah yang dimaksudkan oleh Dr. Kamarul.

Seorang pengguna Facebook bernama Danial A. Shaari menjawab status Hannah Yeoh itu dengan bertanya, kenapa Hannah Yeoh benci sangat dengan perpaduan umat Islam dan parti Melayu Islam?

Puan Speaker lantas menjawab dengan jawapan yang lagi tidak masuk akal dan menuduh En. Danial ‘membuat’ “fitnah”!

Agaknya Puan Speaker amat lucu orangnya dan suka berjenaka.

Mana mungkin parti DAP yang mendominasi pakatan DAP, PKR, PAN dan PPBM boleh memperjuangkan kebajikan orang Melayu/Islam sedangkan Perlembagaan DAP sendiri adalah bersifat sekular, malah tidak menerima kenyataan Malaysia ialah sebuah negara Islam dan komited dengan perjuangan Malaysian Malaysia.

Perkara ini jelas pada Matlamat ke-2 Perlembagaan DAP:

2. Mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia;

Bukankah nyata kenyataan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal” bermakna DAP mahu mengUBAH Perlembagaan Persekutuan daripada bersifat Islamik kepada rangka kerja sekular?

Secara kebetulan, baru berberapa hari yang lepas saya telah menulis sebuah artikel yang berkaitan dengan perkara ini.

Di dalam artikel tersebut, saya mengupas kenapa janji hak orang Melayu tetap terpelihara, malah akan dipertingkatkan oleh pakatan itu tidak masuk akal; sila baca, Kit Siang Akan Pinda Perlembagaan DAP?

Tweet Hannah Yeoh, pemimpin kanan DAP dan speaker Dewan Undangan Negeri Selangor yang mahu menggunakan “Anak Malaysia” sebagai ganti nama kaum di Sijil Kelahiran anaknya.

Saya juga menulis tentang DAP, PKR, PAN dan PPBM tidak ada agenda untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta tiada agenda Islam di dalam manifesto mereka, sila baca:

  1. Pakatan DAP Menipu Orang Melayu Di Sebalik Janji Buku Harapan?
  2. Buku Harapan – Dimanakah Agenda Islam Dalam Manifesto PH?

Amat malang jika seorang Speaker DUN gagal memahami perlembagaan partinya sendiri; melainkan jika orang itu berpura-pura tidak faham untuk mengelirukan pengundi!

Bapa borek, anaknya rintik, bagaimana acuan begitulah kuihnya:

Daripada tulisannya, En. Chia bukan hanya buta perlembagaan tetapi tidak setia kepada Raja-Raja Melayu yang memelihara agama Islam di negara ini!

Pertama, Islam adalah agama bagi Persekutuan dan bukannya “Islam adalah agama rasmi Malaysia” seperti yang difahamikan oleh En. Chia.

<<<sila baca VIDEO – Islam Bukan Sekadar Agama Rasmi Malaysia>>>

En. Chia menulis:

“Perlembagaan Malaysia Islam adalah agama rasmi Malaysia tu boleh ubah. Semua rakyat ada hak bersuara dan undi tu adalah rahsia..”

Soalan saya, apakah kenyataan penyokong Hannah Yeoh ini memperkuatkan lagi bukti bahawa mereka memang berhasrat untuk mengUBAH Perlembagaan dan menjadikan Malaysia sebuah negara sekular?

Lebih menarik kerana kenyataan En. Chia itu tidak disangkal oleh Hannah Yeoh!

Tidak menghairankan kerana di dalam perjanjian Pakatan DAP bersama PPBM dua tahun yang lepas, terdapat cubaan untuk menyamaratakan kedudukan Islam supaya menjadi setaraf dengan agama-agama lain dengan cara meminda ayat Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, sila baca, Perjanjian DAP, PKR, PAN, PPBM Untuk Meminda Perkara 3(1)?

Islam sebagai agama bagi Persekutuan adalah sebahagian daripada struktur asas negara kita; dan sebagai rakyat yang setia kepada negara, kita mesti mempertahankan struktur asas negara.

Di dalam keputusan kes mahkamah, Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur v. Menteri Dalam Negeri, Yang Arif Hakim Tan Sri Apandi Ali berkata:

“The Article places the religion of Islam at par with the other basic structures of the Constitution, as it is the 3 rd in the order of precedence of the Articles that were within the confines of Part I of the Constitution”

Dari segi Perlembagaan, struktur asas ataupun “basic structure” ini tidak boleh diubah dengan sewenang-wenangnya, dan tidak boleh dipinda hanya sekadar melalui undian di Parlimen; dan ini telah diakui oleh seorang peguam yang disokong pembangkang iaitu Prof Shad Saleem Faruqi, di dalam tulisannya yang bertajuk “Restoring constitutional supremacy”, di dalam akhbar The Star.

Kesimpulannya, berwaspadalah dengan penyakit kecelaruan delusi atau ‘delusional disorder’ ini kerana ia sedang menular di negara kita khasnya melalui alam maya, khususnya di kalangan ahli-ahli politik dan penyokong pakatan DAP.

Jadi, jika kita memilih orang-orang yang berpenyakit untuk memimpin kita, jangan sampai kita pula ‘terkena’ kecelaruan delusi yang mengakibatkan kita menjadi kurang waras sehingga struktur asas negara boleh diruntuhkan dan hak Melayu dan kuasa Islam yang kini termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tergadai.

Jangan sampai, menang sorak, kampung tergadai.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s