Tag Archives: Zainur Zakaria

Mana Batas-Batas Kamu, Bekas Presiden Majlis Peguam Soal Majlis Penasihat Kerajaan

PETALING JAYA: Dua bekas presiden Majlis Peguam hari ini tidak bersetuju dengan tindakan Majlis Penasihat Kerajaan memanggil dan meminta 2 hakim tertinggi meletak jawatan.

Mereka berkata majlis itu, yang ditubuhkan untuk menasihati kerajaan berkenaan perkara ekonomi dan kewangan, sudah melampaui batas.

Mereka juga berkata tindakan majlis itu jelas sekali satu pencabulan kedaulatan undang-undang dan sama seperti “campurtangan cabang eksekutif dalam hal ehwal cabang kehakiman”.

Zainur Zakaria berkata majlis sudah melakukan kesalahan apabila mendesak peletakan jawatan Tun Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang akan meletakkan jawatan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan berkuatkuasa 31 Julai.

Beliau berkata perkembangan ini akan menetapkan duluan berbahaya.

“Isu keperlembagaan pelantikan itu atau sebaliknya patut ditentukan di Mahkamah Persekutuan,” katanya, merujuk kepada tuntutan undang-undang yang dibuat oleh Majlis Peguam dan Persatuan Peguambela Sarawak.

Zainur berkata walau betapa tidak gembiranya orang tertentu terhadap pelantikan itu, perkara itu mesti diselesaikan menurut proses undang-undang.

“Tidak kiralah berapa ramai pakar undang-undang berpandangan pelantikan mereka berdua tidak berperlembagaan. Terdapat 2 pandangan berbeza di sini. Jadi bagaimana kita tentukan pandangan yang betul?

“Keperlembagaan pelantikan itu atau sebaliknya bukan ditentukan dengan menerima hujah satu pihak semata-mata.”

Zainur menambah kerajaan mesti tidak boleh secara tidak sengaja berkelakuan seperti Barisan Nasional yang dituduh tidak pedulikan kedaulatan undang-undang.

Beliau menjawab kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempertahankan Pengerusi Tun Daim Zainuddin yang memanggil para hakim terlibat dan menuntut mereka meletak jawatan.

Seorang lagi bekas presiden, Param Cuaraswasmy berkata orang ramai berhak mengetahui batas-batas majlis itu kerana ia satu badan pentadbiran yang ditubuhkan selepas Dr Mahathir mengangkat sumpah dan sebelum Kabinet separa penuh ditubuhkan.

“Sehingga hari ini orang ramai tidak tahu apakah terma rujukan badan itu, itupun jika ada. Selain itu, selaku satu badan penasihat, apakah wajar majlis atau mana-mana anggotanya memberi kenyataan terbuka tentang mesyuarat dan penemuan mereka setiap masa?” katanya.

Param berkata tindakan Daim memanggil 2 hakim dan meminta mereka meletak jawatan ternyata melemahkan prinsip pengasingan kuasa dan kedaulatan undang-undang dalam sebuah kerajaan berperlembagaan.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh sebelum ini berkata sokongan Dr Mahathir kepada majlis itu tindakan yang tidak bijak dan bertentangan dengan kedaulatan undang-undang.

Ramkarpal berkata tidak salah mengkritik pelantikan Raus dan Zulkefli tetapi bukan memanggil dan menuntut mereka meletak jawatan.

“Perlembagaan ada menetapkan cara menyingkirkan hakim. Ini mesti dipatuhi setiap masa selaras kedaulatan undang-undang,” katanya.