Tag Archives: Sultan Muhammad V

Agong: Institusi Raja Jangan Diambil Mudah, Diperbuat Sesuka Hati

BERNAMA – KUALA LUMPUR 14 Jun – Rakyat diminta tidak mengambil mudah dan diperbuat sesuka hati institusi raja khususnya Yang di-Pertuan Agong dalam amalan Raja Berperlembagaan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bertitah, ini kerana ia adalah institusi yang diiktiraf secara terang dalam Perlembagaan Persekutuan.

<pJusteru, baginda bertitah, hal itu perlu diambil berat oleh semua pihak dan tidak mengikut budaya masyarakat Barat yang tindakan mereka bersandarkan emosi tanpa memikirkan kesan baik dan buruknya kepada negara.

“Institusi Yang di-Pertuan Agong pada hemat Beta, sewajibnya bukan sekadar diambil daripada sudut simbol semata-mata namun ketahuilah institusi ini ada tanggungjawab amat besar, apabila berlakunya sesuatu krisis dalam menstabilkan keadaan supaya tidak menjadi kemudaratan kepada rakyat dan negara,” titah baginda menerusi perutusan Aidilfitri yang disiarkan secara langsung menerusi RTM, malam ini.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri esok.

Baginda turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya mengekalkan perpaduan dan keharmonian dengan menghulur tangan saling bermaaf-maafan dalam menyambut ketibaan 1 Syawal.

Sultan Muhammad V juga bertitah rakyat perlu menyuburkan budaya kunjung mengunjung di hari yang mulia ini bagi mengeratkan silaturahim.

“Hentikanlah dan lupakan pertelingkahan sesama umat sempena hari yang mulia ini. Jauhi fitnah memfitnah kerana dosa fitnah lebih dashyat daripada membunuh,” titah baginda.

Baginda turut bertitah bahawa masyarakat Melayu Islam khususnya akan hanya kekal diberkati jika bersendikan adat dan bertunjangkan syarak.

“Justeru, sempena menyambut Hari Lebaran Syawal yang mulia ini, jadikanlah apa yang Beta titahkan ini sebagai satu pesanan yang bermakna daripada raja kepada rakyat dan negara yang dikasihi.

“Beta harapkan semoga dengan tarbiah di madrasah Ramadan selama sebulan mampu menjadikan kita insan bertaqwa dan kembali kepada fitrah, yang bakal melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi dan berintegriti untuk memacu reformasi ke arah mencapai negara maju.

“Makmur dan mendapat pengampunan Allah (Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur),” titah baginda.

Dalam titah baginda, Sultan Muhammad V turut berpesan kepada rakyat yang pulang berhari raya di kampung halaman supaya mengutamakan keselamatan dalam perjalanan.

“Berhati-hati memandu, elakkan kemalangan supaya kita tidak bersedih dalam kegembiraan.

“Harapan beta semoga sambutan Aidilfitri kali ini memberi makna dan impak yang besar kepada kita dalam melaksanakan tugas sebagai hamba Allah Subhanahu Wata’ala dan khalifah di bumi Allah ini,” titah baginda.

Kadir Jasin Tepis Dakwaan Anwar

HARIAN METRO – DATUK A Kadir Jasin menafikan tuduhan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau menggunakan kedudukannya yang dekat dengan kerajaan untuk menyerang Raja-Raja Melayu menerusi catatan blognya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, catatan di dalam blognya adalah hanya pandangan peribadi dan tidak ada kena mengena dengan sebarang jawatan yang disandangnya.

Sehubungan itu, Kadir tidak berhasrat mencetuskan polemik dengan Anwar dan berharap sesiapa yang membaca catatannya semalam supaya memahami terlebih dahulu kandungan serta merujuk kepada rencananya di sebuah akhbar pada 27 Mei serta catatan lain yang ditulis di blognya, bertarikh 4 Jun lalu.

“Berkenaan tuduhan Saudara Anwar bahawa saya ‘menggunakan kedudukan saya yang dekat dengan kerajaan untuk menyerang Raja-Raja Melayu’ adalah tidak benar oleh sebab saya secara terbuka berkata dalam mukadimah tulisan saya bahawa segala pendapat adalah pandangan peribadi saya dan tidak ada kena mengena dengan sebarang jawatan yang mungkin saya sandang.

“Berkenaan dengan apa yang Anwar maksudkan sebagai ‘fakta yang boleh dipertikaikan’ itu, silalah pertikai dan berikanlah fakta yang betul. Kalau saya silap saya akan buat pembetulan dan saya mohon ampun.

“Saya tidak pertikai. Saya hanya berkata Raja-Raja tidak perlu jaminan atau keselesaan kerana kedudukan mereka dijamin oleh Perlembagaan.

“Saya tidak menafikan hakikat ‘Pakatan Harapan berusaha keras untuk mendapatkan sokongan Raja-Raja Melayu’. Cuma kemudian baru saya tahu bahawa selain Anwar, ada pemimpin lain PH yang menghadap Raja-Raja,” katanya dalam blognya, hari ini.

Semalam, Kadir dalam catatan blognya menulis kira-kira RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Kadir mendakwa purata RM16 juta sebulan dibelanjakan oleh Yang di-Pertuan Agong membabitkan penginapan, kediaman, barangan peribadi, pengangkutan dan pelbagai lagi perbelanjaan lain.

Susulan itu, Anwar membidas kenyataan Kadir yang menyifatkan kritikan itu dibuat tanpa memberi peluang kepada Raja-Raja Melayu untuk memberi maklum balas.

Anwar juga mahu Kadir menunjukkan penghormatan dan ketertiban dalam menyuarakan pandangan kerana kritikan berkenaan sebagai sesuatu yang tidak sihat jika menggunakan kedudukannya.

Pandangan Kadir itu turut mendapat maklum balas daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan meneliti dakwaan peruntukan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dikatakan mencecah RM257 juta bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

PDRM Siasat A. Kadir Jasin

Berita Harian melaporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan selepas menerima tiga laporan polis yang dibuat terhadap wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin berhubung artikel tulisannya yang mendedahkan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata siasatan dilakukan mengikut Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan akan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya sebaik saja lengkap siasatan.

Berita Harian juga melaporkan di dalam tulisan di blog peribadinya, wartawan veteran itu juga mendedahkan sebanyak RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Perlantikan Peguam Negara: Agong Zahirkan Dukacita Terhadap Laporan Negatif Media

Sila klik gambar untuk imej yang lebih besar.

Berita Harian melaporkan bahawa satu kenyataan media bertarikh 4 Jun telah dihantar Istana Negara kepada BERNAMA awal pagi ini yang ditandatangani oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Kenyataan media itu menyebut Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa dukacita dan bimbang terhadap laporan media yang tidak tepat dan bersifat negatif kebelakangan ini, yang dilihat boleh mengancam keamanan dan keharmonian Malaysia.

Kenyataan media itu juga menegaskan bahawa Seri Paduka Baginda menitahkan Baginda mempunyai kewajipan untuk menegakkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan memelihara hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta melindungi agama Islam.

DYMM Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Datuk Wan Ahmad Dahlan berkata atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Seri Paduka telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Editor-editor Media Mesti Disekolahkan Tentang Asas Kedaulatan Negara

[Karim’s Blog}- Membaca beberapa akhbar arus perdana dan liputan pelbagai portal berita berkaitan upacara pertabalan SPB YDP Agong Sultan Muhammad V, jelas menampakkan bahawa di kalangan wartawan dan ketua-ketua editor media, ramai yang masih tidak faham asas kedaulatan Negara serta Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Kebanyakan media yang menyiarkan gambar YDPA mencium Al-Quran meletakkan ulasan (caption) “SULTAN Muhammad V mencium al-Quran iaitu lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV di Istana Negara, semalam”

Ini adalah kesalahan besar dalam pemahaman tentang asas Negara dan kedudukan Islam di Tanah Air ini.

Sering kali media melaporkan bahawa “Islam Agama Rasmi” Malaysia. Malah ramai juga di kalngan pembesar Negara yang masih seing menggunakan slogan yang salah itu. Jika ada pun sesetengah Menteri yang sudah faham dengan menyebut Islam sebagai Agama Persekutuan atau Islam Agama Negara, tetapi apabila ianya dilaporkan oleh akhbar entah sama ada waratwan yang tidak petik dengan betul atau ketua-ketua editor yang tidak faham dengan asas Persekutuan Malaysia ini.

Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama Persekutuan seperti mana ditegaskan di dalam Perkara 4. Ini juga bermakna rangkap kata yang kita kerap dengar bahawa Islam itu adalah agama rasmi itu salah dan tidak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Kegagalan memahami perkara asas ini di kalangan petugas media dan ketua-ketua editor media membuat naratif yang salah ini diteruskan dan diulang-ulang. Mungkin perlu ada usaha untuk sekolahkan mereka ini agar penyampaian maklumat yang benar dapat disampaikan kepada masyarakat agar lebih fahami asas Negara yang bertunjangkan Agama Islam sejak dari kedaulatan pemerintahan Raja-Raja Melayu yang sudah beratus tahun.