Berita Harian melaporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan selepas menerima tiga laporan polis yang dibuat terhadap wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin berhubung artikel tulisannya yang mendedahkan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata siasatan dilakukan mengikut Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan akan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya sebaik saja lengkap siasatan.
Berita Harian juga melaporkan di dalam tulisan di blog peribadinya, wartawan veteran itu juga mendedahkan sebanyak RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.