Tag Archives: Presiden Amerika Syarikat

Lim Guan Eng v. Donald Trump: Siapa Yang Dungu?

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini telah membuat satu kenyataan yang kasar terhadap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dengan mengatakan bahawa Presiden Trump itu adalah seorang yang ‘dunggu’ dan menambah walaupun ada peluang, beliau tidak mahu berjumpa dengan Presiden Amerika Syarikat itu kerana “jumpa orang macam ini, kita sendiri jadi bodoh”.

Apakah benar Lim Guan Eng tidak akan berjumpa dengan Presiden Amerika Syarikat itu yang dikatakannya sebagai “seorang yang rasis, seorang yang kolot dan seorang yang tak hormati pendidikan” jika diberi peluang?

Seterusnya, Lim Guan Eng mempertikaikan pemilihan Trump sebagai presiden oleh rakyat Amerika Syarikat dengan berkata, “…tapi sayapun tak tahu macam mana dia boleh dipilih menjadi presiden”.

Ada dua perkara tentang kenyataan ini yang mahu saya sentuh:

  1. Seseorang pemimpin mesti menghormati dasar diplomatik negara dan Lim Guan Eng sebagai seorang Ketua Menteri tidak boleh dengan sesuka hati menghina dan memburukkan pemimpin negara lain, apatah lagi seorang Presiden. Jika pemimpin negara lain mengatakan bahawa Guan Eng itu dungu, saya pasti beliau akan tersangat marah dan membuat kenyataan balas terhadap perkara itu.
  2. Sebutan perkataan dungu adalah seperti ejaannya iaitu ‘dungu’ dan bukannya ‘dunggu’ seperti yang disebut berulang kali oleh Lim Guan Eng. Lim Guan Eng adalah seorang rakyat Malaysia yang telahpun hidup di Tanah Melayu ini selama hampir 55 tahun, takkanlah sebutan Bahasa Melayunya pun belum betul lagi. 

Saya tidak faham keperluan Lim Guan Eng ‘mendunggukan’ Presiden Trump, tetapi jangan kerana terlalu seronok ‘mendunggukan’ orang lain membuatkan beliau sendiri yang nampak dungu.

Persoalan seterusnya ialah, apakah orang yang tidak memahami dan menghormati protokol layak menjadi seorang pemimpin negara?