Dosa Pengganas Sulu Tidak Pernah Terpadam – Abu Bakar Omar

UTUSAN: MASIH segar dalam ingatan mayat anggota polis terapung di bawah rumah di Kampung Simunul, Semporna, lewat petang 3 Mac 2013. Kampung yang sesak dengan rumah papan dibina di atas air itu disambungkan dengan pelantar pejalan kaki yang juga diperbuat daripada papan.

Mayat berkenaan tidak mampu dikeluarkan oleh anggota pasukan keselamatan berikutan keadaan sekeliling yang masih berbahaya selepas sekumpulan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diserang hendap ketika melakukan pemeriksaan terhadap pihak yang dipercayai ada kaitan dengan pengganas Sulu di kawasan itu pada pukul 7.30 malam, 2 Mac 2013.

Anggota pasukan keselamatan tidak berjaya memasuki kawasan berkenaan yang sebelum itu diserbu oleh Allahyarham Superitendan Ibrahim Lebar yang mengetuai sepasukan anggota polis dalam misi menahan tali barut Agbimuddin Kiram, iaitu ketua pengganas Sulu yang mendakwa dirinya sebagai adik Jamalul Kiram III yang kononnya Sultan Sulu.

Keadaan terlalu bahaya untuk anggota pasukan keselamatan memasuki kawasan itu bagi menarik keluar mayat anggota polis yang terbunuh dalam kejadian berbalas tembak dengan pengganas Sulu pada malam 2 Mac. Ini kerana dibimbangi masih ada saki-baki pengganas Sulu yang bersembunyi di dalam rumah atau bot di sekitar kawasan pertempuran berkenaan dan hanya menunggu masa untuk membunuh lebih ramai anggota pasukan keselamatan.

Enam anggota polis gugur dalam kejadian itu. Ada antara mereka yang dibunuh dengan amat kejam, iaitu leher dipenggal, selain ada yang dicungkil biji mata.

Hanya pada senja 3 Mac 2013, anggota pasukan keselamatan yang dikatakan terdiri daripada etnik Iban dalam Pasukan Gerakan Am (PGA), berjaya menyusup masuk ke kawasan pertempuran itu untuk membawa keluar mayat enam anggota polis yang terkorban. Kira-kira pukul 9 malam, Pangkalan Polis Marin yang tidak jauh dari Kampung Simunul diserang dengan sekurang-kurangnya tiga das tembakan oleh pengganas Sulu. Seluruh pekan Semporna bertukar menjadi amat sepi berikutan tiada sesiapa pun yang berani keluar.

Maka bermula dari saat itulah, pasukan keselamatan mengambil tindakan memerangi pengganas Sulu yang sudah menyusup masuk ke Kampung Tanduo di Felda Sahabat, Lahad Datu sejak awal Februari 2013 dan memulakan keganasan dengan membunuh dua anggota polis komando VAT 69 pada pagi 1 Mac 2013.

Ops Daulat yang dilancarkan selama kira-kira sebulan setengah mulai 5 Mac 2013 menyaksikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM berperang dengan pengganas Sulu di Gugusan Labian sekitar Felda Sahabat.

Bagi mengelakkan Agbimuddin Kiram ditahan atau terbunuh dalam pertempuran, pengganas Sulu yang mencerobohi Kampung Tanduo kerana mendakwa Sabah adalah wilayah di bawah jajahan takluk Kesultanan Sulu, dikatakan terpaksa melarikan beliau kembali ke selatan Filipina, dipercayai Tawi Tawi.

Pengikut Agbimuddin Kiram yang taksub dengan pemimpin mereka dikatakan terpaksa mendayung sampan iaitu taktik terbaik untuk mengelak daripada dikesan oleh radar pasukan keselamatan yang sensitif terhadap haba enjin motor sangkut atau enjin bot.

Seramai 63 pengganas Sulu berjaya dibunuh manakala lapan anggota PDRM dan dua anggota ATM gugur di medan pertempuran. Agbimuddin Kiram, 74, dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya di Barangay Tubig Indangan di pekan Siminul, Tawi-Tawi pada Januari 2015. Sebelum itu, abangnya, Jamalul Kiram III meninggal dunia kerana masalah jantung dan buah pinggang pada 20 Oktober 2013.

Pencerobohan dan pembunuhan dilakukan pengganas Sulu yang sudah berlalu dua tahun lalu bukan setakat diratapi dan ditangisi oleh anggota keluarga 10 anggota pasukan keselamatan terbabit, terutama anggota polis yang dibunuh dengan kejam, malah rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Kebiadaban pengganas Sulu mencerobohi Kampung Tanduo dan beberapa kampung lain di sekitar Gugusan Labian di Lahad Datu hingga memaksa ratusan penduduk kampung melarikan diri dan berlindung di dewan orang ramai adalah kepahitan yang amat sukar untuk ditelan oleh rakyat negara ini.

Hingga saat ini, sudah pastilah anggota keluarga pasukan kese­lamatan yang terkorban itu tidak mampu dengan mudah melupakan kejadian berkenaan, apatah lagi untuk memaafkan pengganas Sulu atau pemimpin mereka.

Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat-Nya ke atas roh Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin Daud dari VAT 69 yang terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac 2013.

Doa juga dipanjatkan untuk Allahyarham Superintendan Ibrahim Lebar, Sarjan Baharin Hamit, Sarjan Aziz Sarikun, Koperal Salam Togiran dan Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran yang gugur dalam medan perjuangan di Kampung Simunul pada 2 Mac 2013.

Seorang lagi anggota polis yang terbunuh dalam pertempuran di Kampung Simunul ialah Asisten Superintendan Micheal Padel. Mayat keenam-enam pegawai dan anggota polis terbabit dijumpai dalam keadaan amat mengerikan.

Al-Fatihah juga dihadiahkan kepada dua anggota tentera yang terbabit dalam Ops Daulat. Prebet Ahmad Hurairah Ismail gugur dalam pertempuran di Sungai Nyamuk, di Felda Sahabat dan Prebet Ahmad Farhan Roslan pula terkorban dalam kemalangan jalan raya apabila trak yang dinaikinya terbalik di Chenderawasih, Felda Sahabat.

Dalam keadaan luka yang tidak akan sembuh itu masih membusung dalam jiwa isteri dan anak-anak dan keseluruhan anggota keluarga 10 anggota pasukan keselamatan itu, tiba-tiba Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar boleh berinteraksi dan duduk semeja berbual dengan anak Jamalul Kiram III, iaitu Jacel H Kiram di Manila pada awal bulan ini.

Nurul Izzah mendakwa tidak pernah kenal Jacel sebelum pertemuan itu dan Jacel ialah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Malis Hal Ehwal Filipina dan Institut Asia Untuk Demokrasi, Pejabat Datuk Bandar Manila dan Pejabat Naib Presiden Filipina.

Beliau juga mendakwa mereka yang menghadiri program berkenaan bergambar dengannya sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan. Nurul Izzah mendakwa kesal atas kesedihan yang dialami anggota keluarga anggota pasukan negara yang terbunuh dalam pencerobohan pengganas Sulu.

Sama ada secara sedar atau tidak, Nurul Izzah sememangnya telah melukakan hati kebanyakan rakyat Malaysia yang tidak mungkin boleh memaafkan dosa pengganas Sulu, termasuklah anggota keluarga Jamilul Kiram III.

Tiada sesiapa pun di negara ini yang menyokong keganasan sebagai cara untuk mengatasi masalah. Tidak ada siapa pun rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sabah yang menyokong tindakan pengikut Jamalul Kiram III memulakan perang ke atas Kerajaan Malaysia semata-mata kerana mendakwa Sabah adalah milik Kesultanan Sulu.

Sekali imbas, aspek pertemuan Nurul Izzah dengan Jacel boleh didakwa oleh Nurul Izzah sebagai tidak disengajakan kerana beliau hakikatnya menghadiri program untuk mendapatkan sokongan masyarakat antarabangsa untuk membebaskan bapanya. Namun demikian, sebagai ahli politik dan antara pemimpin PKR, Nurul Izzah harus lebih berhati-hati dengan siapa ingin ditemuinya di luar negara. Ini kerana jika beliau beranggapan pertemuan dengan Jacel tidak lebih sekadar pertemuan biasa sesama pemimpin politik, ia ternyata silap.

Nurul Izzah tidak boleh bersahabat dengan Jacel kerana Jacel ialah antara pewaris kepemimpinan Jamalul Kiram yang bertanggungjawab atas pencerobohan Kampung Tanduo di Lahad Datu yang turut bererti mencabar dan menggugat kedaulatan Malaysia sebagai negara berdaulat.

Jauh lebih penting daripada itu ialah Nurul Izzah telah melakukan kesilapan bertemu seorang wanita yang tidak pernah memadamkan hasrat anggota keluarganya menuntut Sabah sebagai wilayah Kesultanan Sulu. Hal ini amat berbahaya dari aspek keselamatan dan ketenteraman awam Sabah khasnya dan Malaysia amnya.

Rakyat Malaysia, khususnya di Sabah tidak mahu lagi keselamatan dan ketenteraman awam di negeri di bawah bayu itu digugat oleh mana-mana pihak.

PENULIS ialah pesara tentera berpangkat kolonel dan kini penulis bebas dalam aspek sosiokeselamatan dan hubungan antarabangsa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: